Monday 23 May 2011

Resdung...apa puncanya?

Dalam satu bilik kecil, seorang pengamal perubatan tradisional mengasapkan wajah seorang pesakit kononnya bagi mengubati pesakit resdung.
"Sekejap lagi kamu akan lihat ulat kecil keluar daripada muka kamu dan itulah ulat yang menyebabkan kamu menghadapi resdung," demikian kata bomoh berkenaan bagi meyakinkan pesakit.
Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian, kenyataan bomoh berkenaan benar-benar terjadi. Dari muka pesakit, kelihatan timbul ulat kecil menyerupai hampas kelapa yang dikatakan punca penyakit resdung.
Resdung mungkin menjadi antara penyakit yang popular di negara ini lantaran kaedah rawatannya tidak saja tertumpu di hospital atau pusat perubatan tetapi turut memenuhi kaki lima dan pasar.
Ramai mendakwa mampu mengubati penyakit itu malah menggunakan pelbagai kaedah rawatan yang menghasilkan pelbagai `punca' penyakit itu daripada lendir sehinggalah ulat seumpama hampas kelapa yang keluar daripada pipi pesakit. Tidak ketinggalan juga laporan mengatakan bahawa kaedah digunakan hanyalah penipuan.
Mendengar penerangan Perunding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Perubatan Darul Ehsan (Demc), Dr Abd Razak Rahman Hamzah, mungkin menyebabkan pesakit lebih berhati-hati dan memikirkan kembali kesahihan kaedah rawatan yang digunakan. Tiada kaitan antara ulat yang terhasil di bahagian muka dengan penyakit resdung atau disebut `sinusitis' dalam istilah perubatan malah penyakit itu juga tidak memberi kesan terhadap kulit seperti berlakunya jerawat.
Sinusitis
Beliau berkata, ini disebabkan sinusitis adalah masalah kesihatan yang berlaku pada rongga sinus yang terletak di tengkorak manakala jerawat adalah masalah kesihatan membabitkan kulit.
Sinus adalah rongga yang dipenuhi udara atau kaviti yang terletak di antara tulang muka yang mengelilingi hidung. Ia dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Frontal, Sphenoidal, Ethmoid dan Maxillary.
Apabila membran mukos mendapat jangkitan daripada bakteria, virus atau kulat, ia menjadi bengkak seterusnya menghalang pengaliran mukos atau lendir daripada sinus ke dalam hidung dan tekak yang akhirnya mengakibatkan tekanan dan keradangan dalam rongga sinus.
Apabila seseorang mengalami alahan, lapisan yang bertindak sebagai penapis udara di dalam hidung akan membengkak dan menyebabkan pergerakan udara serta pengeluaran cecair tidak berlaku secara normal.
Rongga sinus yang tersumbat berisiko mendatangkan masalah kesihatan kerana bakteria dan kulat mudah membiak di dalamnya serta menghasilkan nanah. Jika jangkitan dibiarkan berlarutan, nanah boleh merebak ke mata sehingga mengakibatkan buta selain merebak ke otak.
Sehubungan itu, seseorang yang menghidapi selesema tetapi tidak sembuh selepas seminggu, mereka mungkin menghidap sinusitis dan perlu mendapatkan rawatan segera.
Rawatan awal iaitu kurang empat minggu, mungkin boleh diubati menggunakan ubat dan antibiotik tetapi jika kronik atau berlarutan melebihi lapan minggu, ia memerlukan pembedahan.
Mengesan Resdung
Untuk mengesan penyakit resdung, kaedah endoskopi digunakan iaitu tiub kecil dan sumber cahaya dimasukkan ke dalam lubang hidung sehingga ke rongga sinus. Ia membolehkan pemeriksaan lebih teliti dijalankan bagi mengetahui apa sebenarnya di dalam rongga sehingga membawa kepada gejala penyakit itu.
Jika mukos di dalam ruang sinus sudah menjadi pekat, tiub akan dimasukkan untuk mencuci dan menyedutnya keluar. Pada peringkat yang lebih serius, pembedahan kecil terpaksa dilakukan bagi memperbetulkan semula tulang yang bengkok serta membuang ketumbuhan.
80 peratus daripada penghidap asma berpotensi menghidap sinusitis dan bagi penghidap penyakit itu, walaupun sudah pulih sama ada menerusi pengambilan antibiotik atau pembedahan, mereka masih berisiko untuk mendapat kembali jangkitan pada masa akan datang, bergantung kepada tahap imunisasi badan masing-masing.
Sinusitis tidak berjangkit kepada orang lain melalui bersin serta tidak diwarisi daripada ayah atau ibu kepada anak. Bagaimanapun, masalah alahan atau asma boleh diwarisi secara genetik dan membawa kepada resdung apabila ia tidak dirawat dengan betul.
Fakta
Simptom sinusitis
  • Rasa sakit di sekitar pipi dan bahagian atas gigi yang biasanya disebabkan jangkitan pada Maxillary sinus.
  • Sakit di bahagian dahi, di atas kening yang berkemungkinan disebabkan jangkitan dan keradangan di bahagian frontal sinus.
  • Sakit di bahagian belakang mata, di atas kepala yang disebabkan jangkitan pada bahagian Sphenoid sinus.
  • Sakit di sekitar atau belakang mata disebabkan jangkitan pada bahagian Ethmoid sinus.
  • Rasa sakit dan tekanan pada bahagian muka diikuti dengan keadaan hidung yang sentiasa berair adalah simptom paling utama bagi penyakit sinusitis.
  • Pening kepala.
  • Hidung tersumbat.
  • Banyak lendir dalam hidung dan tekak yang berwarna kuning pekat atau kehijauan.
  • Sakit tekak yang berpanjangan dan berulang.
  • Demam atau rasa tidak sedap badan.
  • Berlaku gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.
  • Kurang deria rasa atau bau.
  • Kelesuan.
di ambil dari
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=486:resdung-tiada-kaitan-ulat&catid=199:info-ringkas

No comments:

Post a Comment